PASUKAN
Permainan ini menemukan dua pasukan, masing-masing 22 pemain, 18 daripada mereka berada di padang pada satu-satu masa. Perlawanan dimulakan dengan bunyi siren (semboyan) dan bola dilantunkan oleh field umpire (pengadil padang) di tengah padang. Bola juga dilantunkan di tengah padang untuk memulakan setiap suku perlawanan dan setelah setiap tendangan gol.

JANGKA MASA
Setiap permainan ada empat suku perlawanan, setiap satu 20 minit, serta masa tambahan. Setiap suku perlawanan, kedua pasukan bertukar ganti kedudukan di padang. Mereka cuba merebut bola lalu berlari, menendang dan membawanya secara handball menuju gol di hujung padang. Pemain boleh berlari membawa bola, asalkan bola dilantunkan setiap 15 meter sekali.

MENGHANTAR BOLA
Pemain menghantar bola kepada satu sama lain secara tendangan ataupun handball. Handball bererti memegang bola di sebelah tangan sambil menumbuknya dengan sebelah tangan lagi. Jika pemain berjaya melakukan mark (menangkap bola setelah ditendang sekurang-kurangnya 15 meter, sebelum bola menyentuh bumi atau disentuh pemain lain), dia layak melakukan set kick (tendangan tetap). Pasukan lawan tidak boleh melakukan tackle sehingga dia meneruskan permainan.

TACKLE
Pemain boleh merebut bola secara tackle, iaitu menumbangkan lawannya. Tackle yang sah bererti menangkap pemain lawan, yang sedang memiliki bola, di antara paras bahu dengan paras lutut. Pemain dilarang menolak lawan di belakang semasa tackle. Pemain yang menjadi sasaran tackle pula mesti melepaskan bola dengan betul dalam jangka masa yang munasabah (satu dua saat). Pemain yang mengalami tackle tidak sah akan mendapat tendangan percuma. Apabila mark atau tendangan percuma diberikan, pasukan lawan juga boleh dikenakan penalti tambahan 50 meter jika melengah-lengahkan
permainan atau memaki hamun pengadil.

MATA
Tujuan permainan adalah menendang gol. Ertinya, menendang bola masuk antara dua tiang tinggi di tengah (tiang gol), bagi mendapat enam mata. Jika bola masuk antara satu tiang gol dengan tiang kecil di kiri kanan (tiang belakang), mata behind (satu mata) diberikan.

Jumlah mata ditulis atau dibaca dengan menyatakan mata gol dahulu, mata behind, kemudian jumlah keseluruhan. Misalnya, 10 gol dan enam behind bererti jumlah 66, yang ditulis 10.6 (66). Pasukan pemenang adalah yang meraih jumlah gol dan behind tertinggi.

AFL the game